Tasik Qarun
Menurut lagenda yang mahsyur di daerah ini, tasik ini pada asalnya adalah merupakan istana Qarun dan hartanya telah ditenggelamkan oleh Allah Taala di atas kekufuran Qarun. Tasik ini terletak berhampiran bandar al-Fayyoum.
Tasik Qarun ini merupakan tasik air masin dan di sekitar persisiran tasik tersebut penuh dengan kulit-kulit kerang dan siput. Keluasan Tasik Qarun ini seluas 55,000 hektar, manakala tasik tersebut adalah merupakan sebahagian daripada harta-harta Qarun yang telah ditenggelamkan oleh Allah Taala. Difahamkan untuk membawa kunci-kunci gudang sahaja Qarun, sebanyak 100 ekor unta diperlukan.
Peristiwa ini berlaku kerana keingkaran Qarun untuk membayar zakat. Bangunan rumah penginapan Qarun hanya tinggal 2 tingkat daripada 6 tingkat yang asal. Ianya terletak di salah satu perkampungan bernama Qarun. Ada yang menyatakan harta Qarun masih tenggelam sedalam 1 hasta sehari hingga ianya mencecah perut bumi (salah satu daripada tanda akhir zaman).
Menurut cacatan sejarah yang menyatakan tasik ini merupakan sebahagian dari tasik Moris kuno yang pernah dikunjungi oleh Herodotus pada tahun 450 SM. Di tengah tasik ini terdapat sebuah pulau yang dikenali dengan nama Qarn az-Zahabi. Keluasan tasik ini sebanyak 45 ribu faddan atau 18 900 hektar. Allah Swt telah mengisahkan perihal Qarun di dalam beberapa ayat di antara Firman Allah Taala –
“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendeharaan harta yang kunci-kuncinya sggh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat, (ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri."
“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang yang menghendaki dunia, Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar."
Antaranya ialah kisah Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa alaihissalam. Istilah atau nama Qarun (قارون) dinyatakan sebanyak 4 kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Qasas ayat 76, surah al-Qasas ayat 79, surah al-Ankabut ayat 39 dan juga surah Ghafir ayat 24.
Sesungguhnya Qarun adalah daripada kalangan kaum Musa. Namun dia bertindak melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah anugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepada beliau “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan. Dia (Qarun) berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui bahawa Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang mana lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka. (Surah al-Qasas, ayat 76-78).
Dan dia tampil di hadapan kaumnya dalam keadaan segak berhias (dengan segala kebesaran yang dimiliki). Maka golongan yang tamakkan kehidupan dunia berkata “Alangkah baiknya kalau kita perolehi sepertimana yang diperolehi oleh Qarun, iaitu kekayaan yang melimpah dan kemuliaan yang besar”. (Surah al-Qasas, ayat 79).
Dan Qarun, Fir`aun dan Haman, sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa alaihissalam dengan segala mukjizat yang jelas sebagai bukti kenabiannya , namun mereka tetap takabbur di muka bumi dan mereka tidak terlepas daripada azab perit Allah Taala. (Surah al-Ankabut, ayat 39).
Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami dan kekuasaan yang jelas (hujjah yang nyata) kepada Fir-aun, Haman dan Qarun, lalu mereka mengatakan (menuduh Musa) sebagai ahli sihir yang menipu. (Surah Ghafir, ayat 23-24).
Qarun berketurunan Bani Israel dan merupakan sepupu Nabi Musa bin Imran bin Qahath bin Lawa bin Ya`aqub. Adapun Qarun pula bin Yashhar bin Qahath bin Lawa bin Ya`aqub. Qarun dikenali sebagai al-Munawwir lantaran rupa parasnya yang tampan. Disebabkan kemerduan suaranya ketika membaca kitab Taurat, dia juga digelar al-Nur (cahaya) (sila lihat al-Sya`rawi, Qasas al-Anbiya’, jld.4, hlm 2141). Beliau terkenal di kalangan Bani Israel sebagai individu yang paling mahir tentang kitab Taurat (seorang cendikiawan Islam). Awal kehidupan Qarun amat begitu miskin dan mempunyai ramai anak. Namun dia berhati mulia lagi dermawan terhadap golongan faqir miskin. Malah ramai dikalangan faqir miskin yang berdoa “Wahai Tuhan kami…biarlah Qarun jadi kaya-raya walaupun kami miskin…mudah-mudahan dia dapat memberi sumbangan derma kepada kami yang miskin ini”. Doa ini pernah dilafazkan di hadapan Qarun hingga menyebabkan dia sendiri merasakan dirinya lebih berhak menjadi kaya demi untuk menyumbang derma kepada orang lain. Lantaran itu dalam suatu kesempatan, dia pernah minta Musa alaihissalam mendoakannya kepada Allah agar diberikan kekayaan harta benda dan permintaan tersebut dimakbulkan oleh Tuhan. Meskipun begitu Qarun kufur nikmat Allah yang diberikan kepadanya lalu diazab oleh Allah. Dia mati dengan berstatus murtad dalam keadaan tertimbun lalu tenggelam beserta harta bendanya bersama para pengikutnya dalam tanah dalam waktu semalaman di sebuah kawasan yang terletak dalam daerah al-Fayyum, Mesir. (juga dikenali sebagai Danau Qarun).
Berdasarkan empat petikan mafhum ayat-ayat yang tersebut di atas, penyebutan dan juga penampilan nama Qarun membawa kisah dan pengertiannya yang tersendiri.
Dalam surah al-Qasas ayat 76, Allah Taala nyatakan nama Qarun sebagai bekas pengikut Nabi Musa (Hizbullah) yang paling warak lagi dermawan serta mahir menguasai Kitab Taurat tapi akhirnya kecundang dikuasai hawa nafsunya setelah beliau dikurniakan kekayaan yang melimpah ruah. Lantaran sifat dermawannya, Qarun sering didoakan oleh Kaum Bani Israel yang miskin agar beliau diberikan kekayaan supaya lebih senang untuk menderma kepada mereka yang miskin dan kurang bernasib baik. Malangnya setelah Qarun menjadi kaya, nafsu tamak halaba telah menguasai dirinya
Dalam surah al-Qasas ayat 79, Allah Taala tampilkan nama Qarun yang penuh keangkuhan menjadi dambaan serta impian golongan manusia yang tamakkan harta kekayaan duniawi.
Dalam surah al-Ankabut ayat 39, nama Qarun disebut terlebih dahulu daripada nama Fir`aun dan juga Haman (hizbusyaitan) lantaran sikap takabburnya yang begitu melampaui batas. Haman adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Fir`aun menjadi bertambah sesat dan kedua-dua mereka ini adalah daripada golongan orang-orang kafir yang menentang kerasulan Musa alaihissalam. Adapun Qarun pula, beliau adalah bekasan individu mukmin yang paling rapat dengan Nabi Musa tetapi akhirnya murtad dan menyertai hizbusyaitan untuk menentang Musa alaihissalam.
Dalam konteks penentangan Nabi Musa terhadap kuasa kezaliman politik manusia, nama Qarun disebut selepas Fir`aun dan juga Haman sepertimana dalam surah Ghafir ayat 24. Sebagai makluman tambahan, pada zaman itu Fir`aun dan Haman yang berbangsa Qibti menguasai percaturan politik dan kerajaan. Manakala kaum Bani Israel hanyalah golongan bawahan yang sering menjadi mangsa penindasan Qibti kecuali Qarun.
Dalam Kitab Tafsir al-Mu`minin, al-Syeikh Abdul Wadud Yusuf turut menyebut peranan jahat Qarun bersama Fir`aun dan Haman dalam usaha mereka menyekat kebangkitan mereka yang beriman kepada Allah dan rasulNya; iaitu membunuh sekalian anak-anak lelaki Bani Israel dan membiarkan anak-anak perempuan hidup setelah tongkat Musa alaihissalam menelan segala sihir-sihir sekalian ahli-ahli sihir yang dikumpulkan oleh hizbisyaitan ini dalam satu perlawanan yang diadakan di kolosium (stadium). Perlawanan tersebut bertujuan untuk memalukan Nabi Musa. Namun perkara sebaliknya pula yang berlaku di mana puak Hizbusyaitan ini pula yang mendapat malu besar apabila para ahli sihir tersebut berpaling tadah dan beriman dengan kerasulan Musa alaihissalam. Tindakan ahli-ahli sihir yang berpaling tadah menyebabkan ramai orang awam yang turut sama menyertai mereka. Situasi ini juga menyebabkan kemarahan Fir`aun semakin membuak-buak untuk membunuh Musa. Katanya “Biarkanlah aku membunuh Musa. Semoga Tuhannya dapat melindunginya (Musa). Sesungguhnya tindakan Musa ini amat merbahaya. Aku bimbang sekiranya agamanya berjaya, maka agama dan system pemerintahan kamu (bangsa Qibti keturunan Fir`aun) akan lenyap dan agamanya akan menguasai segalanya. Sekiranya agama beliau menang, pasti sekali dunia ini akan dipenuhi dengan kerosakan” (Sila lihat Tafsir al-Mu`minin, hlm 375). Sebenarnya tindakan keras dengan membunuh anak-anak lelaki Bani Israel oleh Hizbusyaitan ini telah dilakukan sejak awal sebelum kelahiran Nabi Musa lagi selepas ahli nujum Negara Fir`aun mena`wilkan mimpi Fir`aun; bahawa akan muncul di kalangan anak-anak lelaki Bani Israel ini seorang pemuda yang akan meruntuhkan empayarnya. Walaupun begitu, niat jahat Fir`aun dihalang oleh isterinya, Asiah selepas penemuan Musa dalam sebuah kotak di pinggir istana Firaun yang dihanyutkan oleh ibunya dalam sungai Nile. Malah Asiah juga berjaya melembutkan hati Fir`aun dengan izin Allah agar Musa alahisalam diambil sebagai anak angkat dan dibesarkan di istana. (Tafsir al-Mu`minin, hlm 308).