Ramai daripada kita pastinya menanam keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, waima ada sekelumit ketakutan di dalam diri kiranya kehadiran sebagai tetamu Allah itu diuji dengan pelbagai ujian dan kifarah.
Namun bagi ahli perniagaan, Tuah Borhan, 42, ibadah umrah yang dikerjakan kali kedua serta haji itu perlu dikongsi dengan khalayak umum. Bukan bermaksud untuk membuka aib diri, namun kisah yang ringkas ini akui Tuah telah meninggalkan makna yang besar dalam kehidupannya. Lebih-lebih lagi dalam soal menjaga hubungan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa yang semakin sudah terhakis masa kini.
"Selagi tidak berlaku ke atas diri atau tidak kena batang hidung sendiri, kadang-kadang kita tidak percaya, walaupun ada ditegaskan di dalam al-Quran iaitu yang bermaksud: ...maka sekali-kali janganlah kami mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah"...," katanya memulakan bicara malam itu di rumahnya, baru-baru ini.
Sambung Tuah, pada masa itu, kira-kira tujuh tahun lalu, dia menunaikan umrah bersama kakak dan arwah ibunya. Dia pula waktu itu, berniat membuat badal umrah untuk arwah bapa.
"Alhamdulillah, pakej yang saya ambil itu penginapannya hampir dengan Masjidil Haram, dalam 15 meter sahaja jaraknya.
"Selepas tawaf, saya terasa hendak ke tandas. Jadi saya beritahu arwah emak dan kakak yang saya mahu balik ke bilik memandangkan hotel penginapan yang dekat.
"Nak dikatakan cuaca panas sangat tidaklah juga kerana baru pukul 10 pagi. Pada masa yang sama, arwah emak menyuruh saya ambil selipar dahulu daripada kakak.
"Ahh tak pe lah, luar tak panas," spontan kata-kata itu terpacul lancar daripada mulut Tuah sambil dia berlari-lari anak menuju ke Pintu Madinah dan kembali ke hotel.
Kata orang tua-tua, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Mungkin banyak kebenarannya, begitu juga yang dialami Tuah.
"Sebaik keluar dari Masjidil Haram dan sebaik kaki ini memijak tar jalan, saya terasa sedikit panas. Awalnya, saya menganggap ia untuk sementara, dek kerana matahari sudah mula meninggi.
"Tetapi makin lama, rasa panas seperti terbakar itu tidak kurang-kurang. Malah berlarutan selama beberapa hari. Saya mula rasa tidak selesa, apa lagi tapak kaki saya sudah bertukar warna kemerah-merahan.
"Peliknya pula, rasa panas itu akan hilang apabila saya menunaikan solat. Selesai memberi salam, panasnya terasa balik," akui Tuah yang juga terpaksa berjingkit-jingkit kerana tidak selesa dan sakit.
Situasi itu membuatkan Tuah mula mengandaikan pelbagai kemungkinan. Mulanya mungkin merasakan kerana kesan daripada terlalu banyak bergerak menyebabkan kakinya berkeadaan begitu.
Apa tidaknya, pada usia pertengahan 30-an, dengan kudrat muda dan semangat membara, dia mampu melaksanakan umrah sebanyak tiga kali dalam sehari. Jika difikir-fikirkan ini juga bukan alasan kukuh kepada masalah yang dihadapi.
"Saya sampai putus punca dan terus tergerak berjumpa dengan mutawwif. Soalan pertama yang ditanya, "Datang dengan siapa?" Saya jawab: "Kakak dan arwah emak."
Kemudian dia meminta saya memikirkan, sekiranya saya ada berbuat kesalahan pada arwah emak. Kemudian ditanya pula pekerjaan saya, ini ibadah kali ke berapa atau ada tidak saya membawa pesanan orang serta? Saya jawab, saya ke tanah suci untuk membuat umrah dan mendapatkan keredaan Allah SWT.
"Lama juga kami berbincang, sudahnya ustaz menyuruh saya bertanyakan kepada ibu, mana lah tahu, kalau-kalau ada. Saya melakukan apa yang disuruh dan arwah emak berkali-kali menegaskan yang saya tidak ada dosa padanya. Tetapi hairannya, rasa panas pada kaki tidak juga hilang-hilang," ceritanya sesekali bergenang air mata.
Apabila tidak ada perubahan, Tuah ditemani mutawwif, melakukan solat taubat pada tengah malam itu dan dia telah diajarkan sepotong ayat suci al-Quran.
"Sekali lagi saya tanyakan pada arwah emak, apabila melihat dia masih berjaga. Tiba-tiba arwah emak seakan baru teringat sesuatu. Lantas berkata yang dia sedikit tersentuh sewaktu saya katakan "ah' bila disuruh mengambil selipar daripada kakak tempoh hari.
"Saya peluk arwah emak dan meminta maaf. Kami sama-sama menangis. Arwah emak terus bersuara, emak ampunkan kau dan emak redakan kau." Habis kata-kata itu, serta-merta rasa panas di kaki Tuah hilang.
Berhenti merokok
Ujian sekali lagi menjentik Tuah. Kali ini ketika dia menunaikan haji pada 2007. Untuk makluman semua, Tuah sebelum ini dikategorikan sebagai perokok tegar. Dalam sehari dia boleh habiskan dua kotak rokok bersamaan dengan 40 batang.
Apabila menyedari akan lama berada di Mekah serta rokok bebas cukai, biasanya kurang sedap, jadi Tuah telah membawa bekalan rokok yang banyak. Takdir Allah tiada siapa dapat menghidu.
"Dua tiga hari sebelum ibadah wukuf di Arafah, saya diserang asma yang teruk. Tidak dapat saya banyangkan betapa berat serta sakitnya dada ketika itu. Rasa macam nak pecah dan menyesakkan.
"Memanglah dalam keturunan kami ada sejarah asma, tetapi kalau kena asma ketika di tanah air, tidaklah seteruk macam di Mekah. Ambil ubat atau ambil inhaler sudah kurang. Ini tidak, puas diusahakan macam-macam, kurangnya pun tiada," kata Tuah.
Fikirannya pada saat itu cukup terganggu apatah lagi mengetahui, jika wukuf tidak sempurna, maka tidak lengkaplah ibadat haji dan entah bila akan dijemput semula.
"Saya gagahkan diri bertemu dengan mutawwif. Soalan pertama yang ditanya, "Adakah ibu masih hidup? Lantas dia menyuruh saya menghubungi dan memohon maaf. Akur dan dalam kejauhan itu, emak sempat berpesan supaya saya berhenti merokok dan dia akan sentiasa berdoa yang terbaik buat saya," kata Tuah dengan suara terhenti-henti menahan kesedihan, apatah lagi baru kehilangan insan tersayang itu pada 31 Disember lalu.
Doa ibu dan keazamannya itu dimakbulkan, alhamdulillah sehingga ke detik ini, dia tidak lagi menyentuh rokok serta tidak lagi diserang asma.
Mendengar perkongsian dua kisah ini, saya turut terharu dan mengucap syukur. Memang benar dan tidak dapat disangkal akan keberkatan Tanah Haram.
Apa yang kita minta dengan ikhlas, pasti akan dimakbulkan, lebih-lebih lagi ia berkait rapat dengan ibu, di mana syurga itu di bawah tapak kakinya.
Semua yang terjadi yang diberikan secara tunai, sebenarnya tersirat beribu hikmah dan nikmat.
Sumber